Panduan Memilih Pakaian Bayi
Kulit bayi adalah paling sensitif selain lebih nipis, kurang pigmentasi
dan mempunyai kadar kelebatan kelenjar peluh yang tinggi. Keadaan ini secara tidak langsung menyebabkan kulit bayi mudah terpengaruh dengan rangsangan dan panas matahari. Oleh yang demikian, ibu bapa perlu berhati-hati ketika membeli
pakaian dan secara tidak langsung perlu tahu bagaimana hendak memilih
pakaian bayi agar kulitnya kekal sihat dan lembut.
Untuk memilih baju, ia tidak hanya bergantung kepada corak dan warna baju. Ciri-ciri mudah dipakai, mudah ditanggalkan dan
fabrik daripada jenis yang membolehkan bayi menyesuaikan suhu badannya
dengan baik harus diberikan perhatian. Elakkan daripada menggunakan sebarang serbuk biologi atau
pelembut kain ketika mencuci pakaian bayi kerana dikhuatiri akan
merengsa kulit bayi yang sensitif dan lembut itu.
Beberapa ciri-ciri yang harus dijadikan panduan untuk memilih baju bayi adalah seperti berikut:
1. Kain daripada kapas
- membantu menjaga kesihatan kulit bayi.
- melindungi kulit bayi daripada kerengsaan disebabkan sentuhan atau geselan.
- mudah menyerap peluh dan sesuai dipakai ketika cuaca panas.
- Ketika musim hujan pula, kain kapas membantu tubuh bayi kekal hangat.
2. Pilih saiz yang sesuai
- Bayi sepatutnya memakai saiz new born
- sekiranya bayi anda dilahirkan besar, sebaik-baiknyanya pilih saiz pakaian bayi berusia satu hingga enam bulan.
- seelok-eloknya beli pelbagai saiz untuk menyesuaikan dengan pembesaran bayi. Ini kerana bayi cepat membesar.
- Jangan pakaikan bayi dengan pakaian besar kerana ini membuatkan si kecil sukar bergerak dan kelihatan besar.
3. Elakkan baju bertali
- Hindarkan memilih pakaian bayi yang perlu diikat.
- Pilih baju yang berbutang pada bahagian depan kerana ia lebih mudah untuk anda memakaikannya.
4. Berleher lebar
- Pilih pakaian yang berleher lebar atau bulat supaya kepala bayi dapat masuk dengan mudah menerusinya dan berlengan lebar.
5. Butang
- Baju yang mempunyai butang di bahagian hadapan sesuai dan mudah dipakai sepanjang enam bulan pertama usia bayi.
- Manakala baju yang mempunyai butang pada bahagian bawah seperti rompers memudahkan kerja menukar baju dan lampin.